
Kehadiran
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga
Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh
sebahagian hadirin.
Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di
atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya.
Sorakan
slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya
dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan.
"Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di lamanYoutube.
Rayuan Najib itu disambut oleh SEOrang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi.
"Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut.
Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya.
"Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.
Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.
Acara
yang dinamakan ‘An Evening with the Prime Minister’ itu dianjurkan
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota
tersebut.
Program
berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat
Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana
menteri.
Sementara
itu, Bernama melaporkan bahawa sebahagian besar ucapan Najib kepada
warga Malaysia yang menghadiri majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri"
yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London,
adalah mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara
demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.
Najib
berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi
menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah
pilihan rakyat.
“Rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan itu. Kita telah
membuktikannya.
Anda tidak perlu mengadakan demonstrasi jalanan di Malaysia kerana jika
diadakan juga, tidak dapat tidak akan timbul masalah, akan berlaku
pertelagahan," katanya jelas merujuk kepada demonstrasi Bersih 3.0 di
Kuala Lumpur bulan lepas.
Najib
berkata seseorang itu mempunyai hak untuk menyokong kerajaan atau
pembangkang tetapi "anda harus melakukannya mengikut lunas undang-undang
yang ada".
“Jika
anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam
negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima
pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika
anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan
yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," katanya.
Perdana
menteri menarik perhatian bahawa telah terbukti sejumlah 100,000 orang
boleh berkumpul di sebuah stadium, dan melakukannya dengan begitu aman
sekali, merujuk jelas kepada perhimpunan besar-besaran yang diadakan di
Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno
pada 11 Mei.
“Itulah
caranya yang betul. Jika Bersih mahu mengadakan perjumpaan, kita boleh
berikan mereka stadium yang sama, dan kita akan pastikan keamanan dan
keselamatannya. Tiada siapa yang akan dicederakan dan itulah cara yang
sebenarnya bagi kita sebagai sebuah negara yang matang. Kita percayakan
demokrasi, tetapi demokrasi dengan tangungjawab."
Bernama
melaporkan ada dua tiga orang yang berbuat bising dalam kalangan audien
itu, membuatkan perdana menteri berkata "ini bukan adab orang Malaysia
dan tidak sopan untuk mengganggu", bagaimanapun hadirin yang lain amat
tekun mendengar ucapan beliau.
“Saya
bangga semua rakyat Malaysia patuh kepada undang-undang dan menghormati
orang lain sebab itu anda harus bersuara. Anda harus bersuara terhadap
mereka yang menyalahguna kedudukan mereka. {Jika) anda kumpulan
minoriti, jangan paksakan pandangan anda terhadap kumpulan majoriti,"
tegas beliau.
Katanya
beliau percaya jauh lebih baik ialah untuk bertindak bijak, mematuhi
undang-undang dan bila tiba masanya, akan ada peluang untuk membuat
keputusan sebagai warga Malaysia.
Najib,
yang memberitahu audien mengenai pelbagai perubahan signifikan yang
dilakukan kerajaan dari segi ekonomi, pendidikan dan beberapa
undang-undang keselamatan, menekankan bahawa kerajaan mahu menjadi
sebuah kerajaan yang mewakili perasaan rakyat Malaysia.
“Kami
mahu terlibat dengan rakyat Malaysia, untuk melakukan apa yang terbaik
untuk rakyat Malaysia, dan itulah komitmen saya sebagai perdana menteri
Malaysia," katanya disambut dengan tepukan gemuruh.
Beliau
mengulangi bahawa era "kerajaan yang lebih tahu, sudah berakhir". "Kami
perlu mendengarkan rakyat, dan ini yang dilakukan kerajaan sekarang,
mendengar suara rakyat".
Najib
berkata kerajaan melakukan yang terbaik untuk merubah Malaysia menjadi
sebuah negara yang benar-benar maju menjelang 2020 melalui pelbagai
program transformasi ekonomi dan program transformasi kerajaan.
Malah,
katanya, kini adalah saat yang amat penting dalam sejarah Malaysia
kerana inilah kali pertama ia memulakan transformasi besar-besaran
Malaysia secara menyeluruh, bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga
dari segi sosial dan politik, untuk mencapai status sebuah negara maju
sepenuhnya dalam tahun 2020.
"Kita
boleh melakukannya dan saya percaya sebagai rakyat Malaysia, kita semua
komited menuju ke arah menjadi sebuah negara maju. Saya berharap anda
semua bersedia menyertai saya dalam perjalanan ini kerana kereta api
sudah berlepas dari stesennya dan saya mahukan semua rakyat Malaysia
menaiki tren ini supaya kita mempunyai segala sebab dan setiap peluang
untuk mencapai matlamat kita menjadi sebuah negara maju," katanya.
Turut
hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri
Zakaria Sulong, yang menganjurkan majlis itu, dan isteri Datin Seri
Hazizah Ahmad.
Najib
dan Rosmah tiba pada Isnin untuk lawatan kerja dua hari ke United
Kingdom. Perdana menteri menerima jemputan Putera Wales, Putera Charles,
untuk menghadiri majlis resepsi sempena penganugerahan Carter Diraja
kepada Pusat Pengajian Islam Oxford.